• 2025-07-20 10:41 AM

GENEVA: Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Sabtu menggesa sekatan yang menghalang bantuan menyelamatkan nyawa daripada sampai ke Gaza segera ditamatkan, sambil memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai bekalan makanan mencukupi bagi menampung keseluruhan penduduk wilayah itu untuk lebih tiga bulan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“UNRWA mempunyai makanan yang mencukupi untuk seluruh penduduk Gaza selama lebih tiga bulan yang disimpan di gudang, termasuk di Al Arish, Mesir – menunggu untuk dibawa masuk,“ menurut agensi itu menerusi hantaran di platform X.

Walaupun mempunyai bekalan dan sistem logistik yang mencukupi, agensi itu berkata akses bantuan masih disekat.

Kenyataan itu diakhiri dengan rayuan tegas: “Buka pintu masuk, tamatkan sekatan, benarkan UNRWA melaksanakan tugasnya dan membantu mereka yang memerlukan, antaranya sejuta kanak-kanak.”

Israel telah membunuh hampir 59,000 rakyat Palestin setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Rejim itu mengenakan sekatan kemanusiaan penuh ke atas Gaza pada 2 Mac lepas, memutuskan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan lain kepada lebih dua juta penduduk Palestin di wilayah berkenaan.

Selepas tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, Israel mula membenarkan sejumlah kecil bantuan masuk pada akhir Mei. Agensi-agensi PBB tidak lagi dilibatkan, sebaliknya pengagihan bantuan kini dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza yang kontroversi, menyebabkan ratusan kematian sejak itu - BERNAMA-ANADOLU