KANGAR: Seorang pesara tentera maut manakala tujuh lagi cedera selepas van yang dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 9, Jalan Kangar-Alor Setar di kawasan Kampung Permatang Pauh dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata kemalangan itu berlaku pada 4.30 pagi dan Mohd Arshad Hanapiah, 73, yang merupakan penumpang belakang van itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata kesemua mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke arah Kangar seterusnya ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar untuk ke Krabi, Thailand.
“Semasa van ini sampai di lokasi kejadian, van dipandu Mohamad Syamel Morad, 29, ini telah terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok jenis Tunjuk Langit, yang berada di bahu kiri jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pesara tentera tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan enam penumpang lain cedera. Enam penumpang lain ini melibatkan dua lelaki dan empat perempuan berumur lingkungan 11 hingga 73 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata semasa kemalangan itu berlaku keadaan lokasi kejadian gelap, kurang pencahayaan lampu jalan serta hujan lebat dan permukaan jalan basah dan licin.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk bedah siasat, manakala tujuh lagi yang cedera mendapatkan rawatan di hospital sama.