JEMPOL: Seorang wanita warga Indonesia cedera parah di muka, perut dan bahu akibat ditikam kekasihnya dalam kejadian di Taman ACBE, Bahau, Jempol di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Hoo Chang Hook berkata siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan antara pasangan itu di sebuah rumah pada 3.30 petang.

Beliau berkata punca pergaduhan ialah kerana wanita berusia 40 tahun itu ingin pulang ke Indonesia namun dihalang oleh lelaki berusia 38 tahun itu yang naik berang sebelum menikam mangsa.

“Suspek, yang merupakan warga Myanmar (Rohingya), bertindak memukul mangsa dan mengambil pisau lalu menyerang mangsa.

“Mangsa sempat melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum dihantar ke hospital Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Hoo berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, dengan denda atau sebatan.