KUALA LUMPUR: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini melancarkan Transformasi Najjah bagi memacu kejayaan YaPEIM pada masa hadapan sekali gus meningkatkan prestasi, produktiviti serta integritI warga YaPEIM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, transformasi itu berdasarkan tiga teras utama iaitu hayati nilai amanah, model pembangunan, operasi dan tadbir urus yang padu dan mampan, serta rangka kerja perundangan yang teguh dan komprehensif.

“Melalui transformasi ini, saya berharap YaPEIM dapat membangun sebagai sebuah Badan Pembangunan Sosial yang merangkumi aspek pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial sebuah pusat kecemerlangan dan rujukan di peringkat nasional mahupun global dalam pembangunan ekonomi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi dan Perubahan YaPEIM di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata agensi-agensi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama turut terlibat dalam usaha membantu rakyat yang dilanda banjir.

“Buat masa ini saya telah arahkan agensi-agensi agama ini untuk bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengenal pasti lokasi dan mangsa banjir untuk beri bantuan,” katanya.

Bantuan itu akan disampaikan melalui Tabung Musaadah Rahmah MADANI di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).–Bernama