Your Title

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyeru usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini untuk menggunakan platform pengiklanan tempatan bagi memasarkan produk masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar) berkata tindakan itu dapat membantu mengembalikan hasil perbelanjaan pengiklanan itu ke dalam kitaran ekonomi negara.

“Harapan saya pada PKS dan juga pihak lain, pertimbangkanlah guna platform tempatan untuk kita pastikan lebih banyak perbelanjaan pengiklanan dapat dikitarkan di dalam negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Iklan Digital “OHSEM” di sini hari ini.

Pada 1 Ogos lepas, Fahmi dalam hantaran menerusi X (Twitter) berkata KKD akan memulakan proses libat urus dengan penyedia platform besar seperti Google, Meta dan TikTok bagi mengembalikan hasil perbelanjaan pengiklanan kepada organisasi media di negara ini.

Menurut beliau, inisiatif itu dijangka sedikit sebanyak akan membantu industri media menjana pendapatan tambahan.

Pada masa yang sama, beliau mengharapkan lebih banyak platform tempatan dapat diwujudkan bagi membuka peluang kepada usahawan PKS untuk berbuat demikian dan mereka perlu bertanggungjawab memastikan usahawan PKS mendapat pulangan daripada perbelanjaan pengiklanan yang dilakukan.

Untuk tujuan itu juga, katanya kerajaan sedang meneliti beberapa perkara untuk memastikan ekosistem pengiklanan media tempatan bukan sekadar mampu hidup, tetapi juga benar-benar mampan.

“Situasi ‘menang-menang’ ini insya-Allah boleh dicapai dengan pendekatan teknologi baharu berteraskan data dan pengiklanan, teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI). Saya yakin sekiranya kesemua platform tempatan dapat bekerjasama secara bersepadu, aspirasi ini mampu dicapai,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata Dana Iklan Digital “OHSEM” bernilai RM21 juta yang dilancarkan hari ini juga adalah antara inisiatif untuk menggalakkan usahawan PKS membuat pengiklanan menerusi platform kandungan tempatan.

Beliau berkata inisiatif itu dijangka dapat memberi impak kepada tiga penjuru ekonomi iaitu PKS, platform kandungan tempatan serta ekonomi negara.

“Ekonomi digital merupakan sebahagian besar daripada masa hadapan dan antara penyumbang utama kepada pendapatan negara.

“Dengan pertumbuhan ekonomi PKS tempatan melalui usaha sebegini, insya-Allah hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘Harimau Digital Asia’ dapat direalisasikan sejajar usaha negara menghampiri dekad keemasan digital,” katanya.

Dana Iklan Digital “OHSEM” yang diadakan bersempena dengan acara OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima ialah kerjasama antara Dattel Asia Group (DTL), REV Media Group (REV) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menerusi dana itu, usahawan PKS boleh mendapat akses kepada pengiklanan yang bernilai RM8,000 dengan bayaran RM1,000 sahaja dan maklumat lanjut boleh didapati melalui www.ohsemads.com. -Bernama