KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan satu sebatan terhadap bekas pekerja ladang kelapa sawit yang didapati bersalah menipu sebuah syarikat insurans untuk membayar tuntutan berjumlah RM1.013 juta berhubung penyakit strok yang konon dihadapinya, lapan tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan R.Poobalan ,40, selaku perayu untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 8 Mac 2022.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili Poobalan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan selain melanjutkan jaminan RM150,000 seperti diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Muhammad Jamil turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Poobalan melaporkan diri dua kali iaitu pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban dan pasport perayu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pada 9 Mac 2022, Poobalan memfailkan rayuan terhadap hukuman dan sabitan yang dijatuhkan oleh Hakim Datin Sabariah Othman selepas mendapati beliau bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim membantah penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Poobalan dan memohon supaya wang jaminan dinaikkan kepada RM200,000 dengan syarat tambahan.

Poobalan didakwa menipu Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad supaya mempercayai bahawa dia mengalami penyakit strok sehingga mendorong syarikat membayar tuntutan berjumlah RM1.013 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad Jalan Ampang di sini pada 19 Mei 2016, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap elemen kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana perayu telah memperdayakan Great Eastern. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image