KUALA BESUT: Seorang nelayan wanita yang menderita kanser ovari tahap empat dari Kampung Nail di sini, tidak menyangka akan memperoleh pelbagai bantuan bernilai puluhan ribu ringgit daripada Petronas hari ini.

Sapinah Mohd, 60, menganggap bantuan peralatan menangkap ikan antaranya sebuah enjin bot baharu serta bantuan lain buat dirinya sekeluarga menerusi Program Petronas 50 Dreams itu, ibarat bulan jatuh ke riba.

“Sebelum puasa, ada wakil Petronas datang ke rumah saya dan bertanyakan apa yang saya perlukan untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

“Saya beritahu kalau boleh nak enjin bot yang baharu untuk menggantikan enjin bot sedia ada yang selalu rosak sejak saya mula keluar menangkap ikan bersama arwah suami Wan Jusoh Ayop pada 2016,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian enjin bot oleh Pengurus Kanan Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur Yusri Anuar Ahmad di rumahnya hari ini.

Katanya, dia terkejut apabila tidak lama selepas itu, Petronas memaklumkan dia bukan sahaja memperoleh enjin bot 60 kuasa kuda dan pukat baharu, malah turut menerima peralatan membuat karipap, manakala bahagian hadapan rumahnya akan diubah suai untuk dijadikan bengkel membuat dan pusat jualan kuih berkenaan.

Kata wanita yang kehilangan suami pada 28 Nov tahun lepas akibat masalah jantung itu, dia terpaksa meneruskan tugas sebagai nelayan bersama anak bongsunya, Wan Nur Aidil, 22.

“Sebelum ini, saya sering keluar menangkap ikan bersama suami sejak 2017 ... tidak lama selepas saya disahkan menghidap kanser ovari tahap empat.

“Arwah suami mengajak saya ke laut bersamanya kerana tidak mahu saya lebih tertekan jika berada di rumah ... dia bimbang saya akan sentiasa fikir mengenai penyakit yang dihidapi sekali gus menjejaskan kesihatan saya,” katanya yang turut mengalami masalah buah pinggang, saraf, jantung serta tekanan darah tinggi.

Sapinah yang tinggal tujuh orang serumah bersama anak dan cucunya berkata keadaan itu bagaimanapun tidak menghalangnya turun ke laut demi menyara keluarga meskipun pendapatannya tidak menentu.

Di laut, Sapinah akan bertanggungjawab melabuh dan menarik pukat, manakala anaknya ditugaskan untuk mengendalikan bot. Mereka lazimnya keluar selepas subuh dan hanya pulang kira-kira pukul 2 petang.

“Bantuan ini tentunya akan melancarkan lagi kerja saya dan insya-Allah rezeki saya mungkin akan lebih baik selepas ini,” katanya yang baru sekali turun ke laut sejak Ramadan ini disebabkan enjin botnya rosak.

Sementara itu, Yusri Anuar berkata program Petronas 50 Dreams itu dianjurkan syarikat petroleum negara bagi merealisasikan 50 impian rakyat Malaysia terpilih termasuk Sapinah.

“Untuk kali ini, kami baru sahaja memenuhi impian Sapinah, seorang nelayan wanita. Impiannya adalah untuk mempunyai sebuah enjin bot baharu bagi menggantikan enjin bot sedia ada yang telah rosak.

“Kami berharap dengan sumbangan ini termasuk bangunan dan peralatan pembuatan karipap, Sapinah akan memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan karipap berbanding turun ke laut,“ katanya.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image