19 penduduk terjejas perobohan WCE di Kampung Jawa mohon rumah Smart Sewa Selangor, namun perlu ikut prosedur sewaan dan bayaran deposit.
SHAH ALAM: Sebanyak 19 penduduk yang terjejas akibat perobohan kediaman bagi projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang telah memohon rumah di bawah Skim Smart Sewa kerajaan negeri.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, berkata kelulusan kemasukan tetap bergantung kepada prosedur yang ditetapkan.
“Ya, semua 19 penduduk sudah mohon skim Smart Sewa tetapi untuk masuk mereka perlu ikut prosedur ditetapkan,” katanya.
Beliau menegaskan penduduk perlu mematuhi syarat asas termasuk bayaran deposit dan kadar sewaan.
Borhan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria Tahun 2025 oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.
Terdapat permintaan supaya kerajaan negeri menanggung kos sewaan selama setahun.
Borhan berkata permintaan itu boleh dipertimbangkan jika hanya untuk tempoh enam bulan.
Beliau menjelaskan untuk tempoh setahun, kerajaan negeri perlu menanggung kos kira-kira RM200,000 bagi semua keluarga terlibat.
Semua unit Smart Sewa yang ditawarkan berada dalam lingkungan kurang 10 kilometer dari kampung berkenaan.
Terdapat empat lokasi pilihan termasuk unit dengan fasiliti kolam renang yang disewa pada kadar RM900 sebulan.
Borhan menegaskan kerajaan negeri telah memberi banyak ruang termasuk menangguhkan arahan pengosongan beberapa kali.
Proses itu berlarutan kerana permintaan penduduk.
“Malah, pengambilan tanah juga dibuat mengikut prosedur dan bayaran pampasan 75% telah dibuat,” katanya.
Hanya pemilik sah akan dipertimbangkan bagi kemasukan ke Smart Sewa.
Berhubung kerja-kerja perobohan yang bermula hari ini, Borhan berkata proses berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.
“Hari ini (Selasa) tiada apa-apa insiden, malah saya sendiri pantau dari pagi dan semuanya lancar,” katanya.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar turut melaporkan proses perobohan terkawal dan lancar.
Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer.
Ia dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak.







