Kerajaan MADANI tingkatkan penguatkuasaan terhadap pesalah nafkah, dengan 9,674 kes berjaya ditangani setakat September 2025 bagi melindungi kebajikan wanita dan kanak-kanak.
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI memperkukuh penguatkuasaan terhadap pesalah culas nafkah melalui kerjasama rentas agensi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebanyak 9,674 kes telah berjaya diambil tindakan setakat September 2025.
Beliau berkata kerajaan memandang serius isu kegagalan membayar nafkah kerana ia merupakan satu bentuk pengabaian tanggungjawab.
“Perkara itu menjejaskan kebajikan wanita dan anak-anak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan.
Tindakan itu termasuk saman, potongan gaji automatik, pembekuan akaun melalui hiwalah dan hukuman penjara sehingga 30 hari.
Pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 membolehkan institusi kewangan membekukan akaun penghutang untuk tujuan pelunasan tunggakan nafkah.
Setakat September 2025, sebanyak 152 kes hiwalah didaftarkan dan 26 daripadanya telah berjaya diselesaikan.
Nilai keseluruhan RM79,820 telah berjaya dipindahkan kepada penerima nafkah melalui mekanisme tersebut.
BSK turut mewujudkan Unit Pemantauan bagi menilai pematuhan perintah nafkah dan mencadangkan tindakan undang-undang terhadap ketidakpatuhan.
Unit itu bekerjasama dengan agensi seperti LHDN, PERKESO, JPJ, SSM dan JPN untuk mengesan maklumat terkini bekas suami melalui Unit Pengesanan Maklumat.
“Integrasi data ini mempercepat tindakan penguatkuasaan dan mengurangkan ruang pesalah melarikan diri daripada tanggungjawab,” kata Mohd Na’im.
Pangkalan data pesalah nafkah turut diperkukuh melalui sistem e-Nafkah.
Mahkamah Khas Nafkah yang ditubuhkan kini mencapai sasaran mempercepat penyelesaian kes daripada 14 bulan kepada enam bulan.
Mengenai cadangan menubuhkan tabung nafkah sementara, kerajaan telah menyediakan mekanisme sedia ada melalui Pendahuluan Nafkah dan Bantuan Nafkah.
Pendahuluan nafkah akan dikutip semula selepas tunggakan berjaya diperoleh melalui tindakan mahkamah.
Bantuan Nafkah pula disediakan untuk asnaf fakir dan miskin yang diuruskan oleh BSK serta Majlis Agama Islam Negeri.







