MAHB akan jalankan pelan tindakan komprehensif Aerotrain KLIA mulai esok selama sebulan untuk tingkatkan kebolehpercayaan sistem.
SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengaktifkan pelan tindakan komprehensif selama sebulan bermula esok bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata langkah ini menggunakan tempoh liabiliti cacat yang berbaki untuk menangani kelemahan sistem secara berstruktur.
Pelan itu akan dimulakan dengan pemeriksaan harian dan kerja pembaikan dijadualkan dari pukul 9 malam hingga 7 pagi untuk minimakan gangguan penumpang.
“Fokus kami adalah memastikan Aerotrain memberikan tahap kebolehpercayaan dan keselamatan yang dijangkakan di pintu masuk antarabangsa seperti KLIA,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.
Mohd Izani menekankan pelan ini menangani punca gangguan terdahulu secara sistematik sambil menekankan komitmen terhadap keselamatan penumpang.
Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas sepenuhnya akan digunakan untuk memastikan kesalinghubungan antara terminal utama dan bangunan satelit tidak terjejas.
Lebih banyak penerbangan berlepas dan tiba akan dilaksanakan di bangunan terminal utama bagi mengurangkan keperluan penumpang berpindah.
Pelan tindakan komprehensif dibangunkan dengan kerjasama kontraktor dan perunding yang dilantik.
Ia merangkumi tiga peringkat berstruktur untuk menangani kelemahan sistem secara sistematik dan boleh disahkan.
Fokus peringkat pertama adalah mengenal pasti kekurangan sistem dan menyelesaikan isu punca utama.
Fasa ini juga melaksanakan naik taraf teknikal dan perisian yang dirancang serta pemeriksaan terperinci terhadap keseluruhan sistem kereta api.
Fasa kedua menumpukan kepada pengesahan melalui ujian operasi simulasi dan penambahbaikan bersasar.
Ini termasuk mengemas kini perisian, penentukuran semula komponen serta ujian tekanan masa nyata bagi memperkuat kemantapan sistem.
Fasa terakhir melibatkan operasi percubaan yang dipantau untuk mengesahkan tahap kesiapsiagaan sistem.
Penilaian bebas akan dijalankan untuk melaksanakan audit teknikal dan operasi secara komprehensif.
APAD akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara formal selepas pelan berkenaan disiapkan.
Mengenai kemungkinan melanjutkan pelan selepas 15 Disember, Mohd Izani berkata perkara itu akan diputuskan selepas fasa pertama dan kedua selesai.
“Kami masih belum dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk operasi percubaan,” katanya.
Sejak operasi disambung semula pada 1 Julai, sistem Aerotrain KLIA telah memberikan manfaat kepada kira-kira tujuh juta penumpang.
Sistem ini melengkapkan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik dengan mencatatkan tahap ketersediaan perkhidmatan operasi sebanyak 98.41%. – Bernama






