“MICROSLEEP” didakwa menjadi punca pelanggaran melibatkan warga emas yang dirempuh sebuah kereta ketika mangsa sedang berteduh di jejambat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, selepas Tol Sungai Besi Ahad lalu.

Perkara tersebut didedahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kepada Buletin TV3.

Bagaimanapun, menurut beliau, siasatan lanjut masih lagi berjalan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR)

“Pemandu kereta itu dia microsleep, itulah alasan dia, kita tengah buat siasatan, kita akan hantar pada TPR secepat mungkin siasatan itu,” beliau dipetik sebagai berkata.

Pemandu terbabit dibebaskan dengan jaminan polis sejak Isnin.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang warga emas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan ketika sedang berteduh di lorong kecemasan di bawah jejambat ekoran dari cuaca hujan.

Kejadian tersebut membuatkan mangsa cedera parah dikepala dan tidak sedarkan diri sehingga hari ini dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).