KUALA LUMPUR: Polis menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah melalui operasi berasingan di sekitar Gombak dan Wangsa Maju.
Operasi tersebut dilaksanakan pada hari Isnin dan Selasa minggu lepas bagi membongkar kegiatan sindiket dadah.
Pasangan suami isteri itu berjaya ditahan di sebuah rumah teres sekitar Batu Caves, Selangor.
Pemeriksaan polis di rumah tersebut menemui 197 bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat kira-kira 200 kilogram.
Polis turut merampas 121 bungkusan plastik dadah metamfetamina seberat 125 kilogram daripada lokasi sama.
Jumlah nilai dadah yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan mencecah RM14 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tiga lagi lelaki ditahan di kawasan parkir sebuah kondominium sekitar Wangsa Maju.
“Siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan di Batu Caves, Selangor berperanan sebagai penjaga stor dan wanita terbabit adalah isterinya,” katanya semasa sidang media.
Hussein menjelaskan seorang lagi lelaki yang ditahan berperanan sebagai koordinator sindiket tersebut.
Dua lelaki lain yang ditahan pula merupakan rakan sekutu sindiket pengedaran dadah itu.
Siasatan polis mendapati sindiket tersebut mula aktif menjalankan kegiatan haram sejak awal tahun ini.
Sindiket itu dipercayai mendapat bekalan dadah dari kawasan utara negara sebelum disimpan di lokasi strategik.
“Mereka ini dipercayai mengedarkan dadah kepada sindiket di sekitar Lembah Klang,” tambah Hussein.
Rumah di kawasan Lembah Klang dijadikan sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Dadah terbabit disyaki dibawa masuk melalui jalan darat dari sempadan utara.
Polis masih menyiasat sama ada barang terlarang itu dibawa melalui laluan utama atau ‘jalan tikus’.
Enam kenderaan pelbagai jenis turut disita dalam operasi tersebut.
Barangan kemas bernilai kira-kira RM300,000 turut dirampas daripada suspek.
Kesemua individu yang ditahan menunjukkan keputusan negatif dadah melalui ujian saringan air kencing.
Tiada seorang pun daripada mereka yang memiliki rekod kesalahan lampau sebelum ini.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Oktober ini.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – Bernama