• 2025-10-16 07:16 PM

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan bilangan kelahiran hidup terendah sejak 1980 dengan hanya 414,918 kelahiran pada tahun 2024.

Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak sembilan peratus berbanding 455,761 kelahiran yang dicatatkan pada tahun sebelumnya menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengesahkan kelahiran bayi lelaki masih melebihi bayi perempuan dengan masing-masing mencatatkan 213,919 dan 200,999 kelahiran.

Penurunan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar turut merosot daripada 13.6 kelahiran pada 2023 kepada 12.2 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2024.

Nisbah jantina ketika lahir juga merekodkan penurunan daripada 107.4 lelaki pada 2023 kepada 106.4 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada 2024.

Etnik Melayu menyumbang 65.7 peratus atau 272,718 daripada jumlah kelahiran hidup pada tahun lepas berbanding 67 peratus pada tahun sebelumnya.

Kelahiran hidup bagi etnik Cina merekodkan peningkatan daripada 9.8 peratus kepada 10.8 peratus manakala etnik India merekodkan penurunan daripada 4.4 peratus kepada 4.3 peratus pada 2024.

Semua negeri merekodkan penurunan kadar kelahiran kasar pada 2024 berbanding 2023 dengan Terengganu mencatatkan kadar tertinggi iaitu 19.3 kelahiran.

Pulau Pinang merekodkan kadar kelahiran kasar terendah dengan hanya 10.1 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.

Kadar kesuburan total merekodkan penurunan daripada 1.7 anak pada 2023 kepada 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2024.

Sejak 1970 hingga 2012 kadar kesuburan total negara telah direkodkan atas paras penggantian iaitu 2.1 anak.

Kadar kesuburan total mula menurun di bawah paras penggantian bermula 2013 sehingga kini dengan paras penggantian 2.1 anak diperlukan untuk menggantikan generasi.

Sementara itu kematian yang direkodkan pada tahun lepas ialah 198,992 meningkat satu peratus berbanding 196,965 kematian pada tahun sebelumnya.

Kadar kematian kasar merekodkan penurunan daripada 5.9 kematian pada 2023 kepada 5.8 kematian pada 2024 bagi setiap 1,000 penduduk.

Bilangan kematian lelaki pada tahun lepas ialah 113,866 kematian atau 57.2 peratus daripada jumlah kematian manakala bilangan kematian perempuan sebanyak 85,126.

Kumpulan umur 70 hingga 74 tahun merekodkan jumlah kematian tertinggi pada 2024 dengan 24,513 kematian atau 12.3 peratus.

Kumpulan umur lima hingga sembilan tahun pula merekodkan bilangan kematian terendah dengan hanya 412 kematian atau 0.2 peratus pada 2024. – Bernama