Seorang pengarah syarikat kerugian RM2.95 juta selepas diperdaya skim pelaburan palsu yang dijanjikan pulangan 10-25% melalui aplikasi.
KUALA TERENGGANU: Seorang pengarah syarikat kerugian hampir RM3 juta selepas diperdaya skim pelaburan dalam talian tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa lelaki berusia 66 tahun itu ditawar menyertai skim itu oleh seorang rakan di laman sosial pada Mei.
Mangsa dijanjikan keuntungan antara 10% hingga 25% daripada modal pelaburan.
Beliau kemudian mendaftar perniagaan tersebut melalui pautan laman sesawang yang diberikan.
“Mangsa yang berasal dari Tok Jembal juga diminta memuat turun satu aplikasi untuk membolehkan wang keuntungan pelaburan dimasukkan,” menurut Azli.
Terpesona dengan jumlah laba tinggi, mangsa membuat pelaburan berjumlah RM2.95 juta.
Wang itu dipindahkan melalui 18 transaksi ke akaun suspek dari 10 Jun hingga 7 November tahun lepas.
Mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal memindahkan wang dari aplikasi ke akaun banknya sendiri.
Laporan polis dibuat pada pukul 11.06 pagi Sabtu lepas.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.








