JBPM rekod 10,038 operasi pemantauan dan tindak balas banjir sejak November, kekal bersedia walaupun cuaca kini lebih terkawal.
KANGAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 10,038 operasi pemantauan dan tindak balas di seluruh negara sejak 11 November lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata purata 139 operasi dilaksanakan setiap hari sepanjang Monsun Timur Laut 2025/2026.
Operasi tersebut melibatkan kawasan berisiko banjir, pemindahan mangsa, misi menyelamat dan bantuan logistik.
BACA: Bomba pantau lebih 8,000 kawasan banjir sepanjang Monsun Timur Laut
“Walaupun keadaan sekarang tidak begitu meruncing, kita tidak boleh berada dalam zon selesa,” katanya.
Beliau menegaskan JBPM sentiasa bersedia 24 jam dengan kekuatan anggota, aset dan prosedur operasi standard.
Ahmad Izram berkata demikian selepas merasmikan program sumbangan kebajikan di Ibu Pejabat JBPM Perlis.
Dalam program sama, 31 pegawai dan anggota bomba Perlis yang terjejas banjir menerima sumbangan.
Seorang balu kepada anggota bomba yang terkorban bertugas juga menerima bantuan RM2,000. – Bernama








