Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merampas aset bernilai RM11.4 juta termasuk wang tunai, emas dan jam tangan mewah dalam siasatan rasuah tender perolehan tentera.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas barangan bernilai RM11.4 juta dalam siasatan kes rasuah tender perolehan yang melibatkan bekas Panglima Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata aset berkenaan dirampas hasil risikan di dua lokasi iaitu sebuah rumah di Kuala Lumpur dan Besut, Terengganu.
Antara barangan disita ialah wang tunai berjumlah RM4.4 juta dan mata wang asing bernilai RM1.4 juta.
Sebuah kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 turut dirampas.
SPRM juga menyita 26 unit jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta serta pelbagai barangan kemas bernilai RM294,039.90.
Dua cincin berlian berharga RM20,000 dan jongkong emas seberat 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta turut dirampas.
Aset lain termasuk medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas 8.5 gram bernilai RM5,780.
“Sebanyak 75 akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan RM32.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media.
Azam menegaskan semua aset bernilai jutaan ringgit itu akan dicadangkan untuk dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan.
Katanya SPRM sedang menyiapkan permohonan pelucuthakan mengikut prosedur mahkamah.
“Kami mahu semua barangan yang dirampas ini dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan, namun ia tertakluk kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya serta kelulusan mahkamah,” katanya.
Pada 7 Januari lepas, bekas PTD bersama dua isterinya ditahan SPRM berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat.
Pegawai itu direman selama tujuh hari keesokan harinya, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Bekas PTD itu kemudian dilepaskan daripada tahanan reman pada 12 Januari lepas.








