Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk memperkukuh tadbir urus dan membersihkan isu rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) minggu depan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pertemuan itu adalah susulan komitmen Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membersihkan isu rasuah serta kelemahan tadbir urus.
Beliau berkata SPRM akan bekerjasama berdasarkan peruntukan Seksyen 7(c) Akta SPRM 2009.
“SPRM akan bekerjasama berdasarkan Seksyen 7(c), ini peruntukan yang dinyatakan di bawah akta kami, mandated ataupun authorised kepada SPRM untuk memberi nasihat dan juga membuat kaji selidik berhubung dengan sebarang kelemahan, isu tatakelola dan sebagainya,” katanya.
Pertemuan pada Rabu akan memberi fokus kepada dua perkara utama.
Ia akan membincangkan isu-isu sedia ada yang sedang disiasat dan merangka hala tuju bagi pembersihan menyeluruh dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Azam berkata SPRM sedia membantu berdasarkan hasil siasatan dan maklumat yang telah dikumpul.
Tujuannya adalah untuk membetulkan mana-mana kelemahan di dalam Mindef, terutama isu-isu yang melibatkan perolehan.
Beliau berkata SPRM akan menumpukan kepada aspek rasuah, tadbir urus dan penambahbaikan pentadbiran.
“Itu menjadi tanggungjawab kami, bukan sahaja kerana saya membuat kunjungan hormat, tetapi kerana menjadi tanggungjawab kami membantu kerajaan dalam membetulkan perkara-perkara yang lemah dan silap,” katanya.
Mengenai kemungkinan lebih ramai pegawai kanan Mindef dipanggil dalam siasatan OPS Parasit dan OPS Star, Azam tidak menolak kemungkinan tersebut.
“Berkaitan dengan kedua-dua kes itu, saya tidak nafikan yang kita akan memanggil lagi mana-mana yang terlibat. Bila kita siasat, akan timbul banyak perkara-perkara lain. Kita akan memanggil, tetapi bukan masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata SPRM akan memberi tumpuan kepada siasatan yang sudah dimulakan terlebih dahulu.
“Selepas kedua-dua kes ini selesai, kita akan mula memanggil yang lain untuk memberi kenyataan atau membantu siasatan,” katanya.
Azam turut menegaskan bahawa kes berkenaan adalah sensitif kerana melibatkan dana awam dan pegawai berpangkat tinggi.
OPS Parasit membabitkan dakwaan penerimaan rasuah dan salah guna kuasa yang disyaki melibatkan bekas Panglima Tentera Darat.
Ia membabitkan transaksi kemasukan wang mencurigakan ke beberapa akaun dengan jumlah antara RM40,000 hingga ratusan ribu ringgit.
Siasatan telah dijalankan sejak 23 Disember 2025.
Manakala OPS Star pula merujuk kepada dakwaan beberapa pegawai tinggi ATM meminta dan menerima rasuah berkaitan urusan perolehan.
Mereka turut disyaki menyalahgunakan dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) untuk kepentingan peribadi.
Siasatan itu telah dijalankan sejak 7 Oktober 2025.








