Mekanisme Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA) dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi bagi memperkukuh usaha pemulihan aset negara daripada penjenayah.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendesak agar rangka kerja Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA) segera dibawa ke Parlimen.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata mekanisme itu kini berada di peringkat akhir penelitian Jabatan Peguam Negara.
Beliau menjangkakan ia boleh dibentangkan pada sesi penggal kedua Parlimen.
“Kita perlu bergerak ke hadapan dalam hal kita mempunyai kaedah yang lebih baik untuk mendapatkan kembali aset daripada penjenayah,” katanya dalam sidang media khas di sini.
Azam menekankan DPA penting untuk pemulihan aset yang lebih efektif.
Ia khususnya bagi kesalahan berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.
Beliau menjelaskan DPA hanya terpakai kepada pihak yang melakukan kesalahan jenayah.
Ia tidak melibatkan urusan perniagaan biasa seperti kutipan cukai.
“Ini melibatkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka di luar sana yang menyalahi undang-undang jenayah negara,” katanya.
Azam memberikan contoh pelaksanaan DPA melibatkan pencemaran alam sekitar.
Syarikat yang bersalah perlu memulihkan kawasan terjejas menggunakan kos mereka sendiri.
Mereka juga perlu membayar pampasan kepada mangsa dan penalti kepada kerajaan.
Penyelesaian itu dipersetujui bersama Peguam Negara.
Mekanisme DPA membolehkan pendakwaan ditangguhkan apabila penyelesaian dipersetujui.
Ia termasuk pemulihan aset yang kemudian boleh dikembalikan kepada kerajaan.
Sementara itu, Azam berkata siasatan terhadap seorang bekas mentesi masih berjalan.
Pegawainya memerlukan satu atau dua minggu lagi untuk menyiapkan siasatan.
Pada 13 Jan, Azam dilaporkan berkata SPRM sedang menyiasat bekas menteri itu disyaki menerima suapan kira-kira RM5 juta.
Ia membabitkan projek iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Bagaimanapun, identiti bekas menteri itu masih tidak boleh didedahkan.








