Polis Sibu menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga asing berusia 27 tahun berikutan pergaduhan di sebuah hotel awal pagi tadi.
SIBU: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes kematian seorang warga asing di bandar ini.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 31 tahun itu ditahan berikutan kematian seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata polis menerima maklumat pada 4.22 pagi mengenai seorang lelaki yang dibawa ke Hospital Sibu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah hotel sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di bahagian kepala,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok bagi permohonan reman.
Pemeriksaan mendapati suspek mengalami kecederaan pada lengan dan badan yang dipercayai berkaitan dengan kejadian itu.
Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk bunuh.
Zulkipli menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.








