Thursday, November 6, 2025
23 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Dua warga China hadapi perbicaraan April 2026 atas kesalahan ambil gambar MINDEF dengan dron

The Sun Berita

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan empat hari bermula 27 April 2026 bagi perbicaraan kes dua lelaki warga China atas dua pertuduhan mengambil gambar dari udara menggunakan dron di kawasan larangan Kementerian Pertahanan.

Hakim Izralizam Sanusi menetapkan 27 hingga 30 April 2026 sebagai tarikh perbicaraan selepas dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi dan peguam S. Rubanyah yang mewakili Li Luorong, 26, dan Chen Junhao, 19.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beberapa dokumen penting berhubung kes itu masih belum diperoleh.

Dokumen tersebut membabitkan pengisytiharan MINDEF sebagai kawasan larangan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan dan Jabatan Arah Angkatan Tentera Malaysia berhubung perimeter keselamatan.

Pihak pendakwaan memerlukan kira-kira dua minggu untuk mendapatkan dokumen berkenaan semasa sebutan kes itu tanpa sebarang bantahan daripada peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan kes seterusnya.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua warga China itu didakwa bersama-sama dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud yang memudaratkan keselamatan negara.

Mereka dituduh mengambil gambar pandangan atas menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan tanpa kebenaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang bola B MINDEF, Jalan Padang Tembak di sini pada 11.50 pagi, 6 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Dato’ Sri Aliff Syukri & Bella Astillah Lead Shopee 11.11 Big Sale with Daily Superstar Livestreams, Lagi Murah Deals, and Free Shipping

KUALA LUMPUR, MALAYSIA - Media OutReach Newswire - 6 November 2025 -The Shopee 11.11 Big Sale is officially here, bringing Malaysians closer to their favourite celebrities through Daily Superstar Livestreams, where a line-up of superstar hosts will showcase top brands and exclusive deals daily from 12PM to 2PM until 11 November.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img