Mahkamah Koroner bercadang adakan sesi locus in quo di asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar minggu depan bagi kes kematian Zara Qairina.
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner bercadang mengadakan sesi lawatan ke lokasi kejadian bagi kes kematian Zara Qairina Mahathir minggu depan.
Lawatan atau sesi *locus in quo* itu akan diadakan di bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar.
Peguam keluarga, Shahlan Jufrim, berkata tarikh tepat lawatan ke asrama sekolah itu belum diputuskan.
“Dijangkakan kita akan melawat Sekolah (MKA) Tun Datu Mustapha sekali lagi pada minggu depan tetapi tarikh akan ditentukan kemudian,” katanya.
Beliau berkata setakat ini semua saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan.
Prosiding pada Jumaat ini dijangka melibatkan seorang guru dan beberapa orang lagi akan dipanggil minggu depan.
Terdahulu, saksi kanak-kanak ke-23 dipanggil semula untuk memberi keterangan mengenai penerimaan beberapa barangan dan kertas bertulis yang dikaitkan dengan Zara Qairina.
Antara barangan yang dikemukakan sebagai bahan bukti ialah satu rantai kunci dengan patung avokado dan beberapa keping kertas.
Saksi memaklumkan mahkamah bahawa barangan itu diberikan oleh Zara Qairina melalui rakannya.
Namun dia tidak ingat tarikh sebenar menerimanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025.
Kematiannya berlaku sehari selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos tahun sama, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.








