Cuaca panas dan kering di utara Semenanjung adalah keadaan lazim semasa peralihan Monsun Timur Laut, kata pakar, dengan paras empangan masih mampu bertahan.
KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca panas, kering dan berangin di kawasan utara Semenanjung bukan fenomena luar biasa.
Prof Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata ia merupakan keadaan cuaca lazim semasa tempoh peralihan pergerakan Monsun Timur Laut.
Beliau yang juga pakar meteorologi Universiti Malaya berkata fenomena ini dikenali sebagai ‘musim timur’.
Dalam tempoh Januari hingga Februari, zon penumpuan hujan atau ‘monsoon trough’ bergerak ke selatan Laut China Selatan.
“Negeri-negeri di utara kini berada di luar zon penumpuan tersebut, menyebabkan mereka mengalami musim timur dengan langit cerah, cuaca kering dan berangin,” katanya.
Beliau berkata taburan hujan dijangka meningkat mulai April.
Susulan pergerakan zon itu, kawasan di selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak kini menerima hujan lebih kerap.
Azizan berkata keadaan cuaca semasa masih berada dalam paras normal.
“Isu utama hanyalah cuaca panas, namun suhunya tidak mencecah sehingga 40 darjah Celsius. Purata suhu ketika ini sekitar 34 hingga 35 darjah Celsius sahaja,” katanya.
Beliau menambah keadaan ini tidak genting kerana paras empangan masih berada pada kapasiti penuh.
Empangan dijangka mampu bertahan sehingga April.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan enam lokasi di Semenanjung merekodkan hari tanpa hujan melebihi tujuh hari.
Seluruh Perlis mencatat 30 hari tanpa hujan, diikuti Pulau Langkawi, Kedah (27 hari) dan Melaka Tengah (23 hari).
Daerah Barat Daya, Pulau Pinang dan Kuala Langat, Selangor masing-masing mencatat 23 hari tanpa hujan.
Kota Setar, Kedah merekodkan tempoh tanpa hujan selama 20 hari.
Menurut laporan tinjauan cuaca, keadaan lembap dijangka mendominasi kawasan utara Semenanjung dan Sabah pada fasa awal.
Pengurangan taburan hujan berpotensi berlaku menjelang pertengahan hingga akhir tempoh ramalan.
Ini khususnya di kawasan tengah dan selatan Semenanjung serta Sarawak.








