Monday, October 27, 2025
26.5 C
Malaysia
spot_img

Pelajar lelaki mengaku tidak salah lakukan amang seksual fizikal

The Sun Webdesk

Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan lakukan amang seksual fizikal terhadap rakan kelas.

KUALA SELANGOR: Seorang pelajar lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan perempuan sekelasnya, di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, dua minggu lepas.

Pelajar tingkatan tiga berusia 15 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam dalam prosiding tertutup.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding itu berkata remaja berkenaan, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan sekelas perempuannya yang juga berusia 15 tahun, bagi maksud seksual di sebuah kelas di sekolah berkenaan dalam daerah Sabak Bernam pada kira-kira 9.30 pagi, 13 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman denda, pampasan atau kos; perintah khidmat masyarakat; atau dihantar ke sekolah diluluskan seperti Sekolah Henry Gurney, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara tertakluk kepada Seksyen 96(2) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tempoh tertentu.

Muhammad Azamuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000, dengan mengambil kira keseriusan kes melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Peguam Aina Suraya Ahmad Nor Hisham yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital, akibat kemalangan jalan raya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Okt, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Md Yusoff Ahmad dilaporkan berkata seorang remaja lelaki ditahan selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah sekolah di daerah itu pada 13 Okt.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, suspek didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa pada waktu rehat, sebelum ditahan pada hari sama untuk siasatan lanjut. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Video Trump menari di Malaysia raih 21.5 juta tontonan media sosial

Video yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menari semasa lawatan beliau ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan telah tular menerusi media sosial, menarik lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform. Penasihat Trump Alex Bruesewitz menyifatkan video itu mempunyai daya tarikan yang kuat sehingga meningkatkan populariti dalam media sosial. “Video yang dirakam oleh @margomartin memaparkan Presiden Trump menari di Malaysia melepasi satu juta tanda suka dalam Instagram @TeamTrump dan meraih 21.5 juta tontonan. Video itu turut menerima 17.1 juta tontonan menerusi Facebook dan 9.3 juta di TikTok. “Trump ialah pemimpin dunia dan raja media sosial,” katanya dalam hantaran X hari ini. Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin yang menyiarkan semula hantaran Bruesewitz berkata klip itu menunjukkan Trump berinteraksi mesra dengan delegasi dan turut menari mengikut rentak muzik tempatan. -- LAGI TRUMP-TARIAN (TULAR) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR “Lapan tahun bersama dengan Presiden Trump, dan mungkin inilah video kegemaran saya setakat ini,” katanya. Video berkenaan juga menerima pelbagai reaksi daripada pengguna X seperti @KarlDHarrison yang meninggalkan komen, “Realitinya ialah Trump menyayangi rakyat dan ia jelas kelihatan. Mereka juga menyayanginya”. Sementara itu, @kellyannelu menyifatkan Trump seorang yang baik hati, dan klip video itu mencerminkan sikap mesra dan mudah didekati beliau. “Beliau banyak mengembara, tetapi masih mempunyai tenaga untuk berhenti seketika dan menari dengan gembira. Perkara ini membuatkan saya tersenyum,” katanya. Presiden AS itu tiba di sini kira-kira 10 pagi semalam dan berlepas pada 10.06 pagi tadi, menandakan tamatnya lawatan julung-julung kali beliau ke Malaysia dan penyertaan pertama dalam Sidang Kemuncak ASEAN sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lepas. Trump merupakan Presiden AS ketiga dalam sejarah melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015. Malaysia memegang tampuk kepengerusian ASEAN tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga esok.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img