the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, June 26, 2026
28.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Dua produk baharu rancakkan pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Dua produk pelancongan baharu iaitu Payang Walk dan Beca Warisan bakal menjadi daya tarikan terkini di Terengganu, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor berkenaan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Payang Walk dan Beca Warisan ialah inisiatif kerajaan negeri untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negeri di kawasan tanah besar selain di pulau-pulau.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pendapatan golongan peniaga dan pengayuh beca yang semakin hari semakin terkesan dengan arus pembangunan moden.

“Untuk permulaan, kita sediakan tapak untuk 100 peniaga beroperasi di sekitar Pasar Payang dan pesisir sungai Terengganu setiap hari Jumaat.

“Tapak jualan ini dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu jualan makanan tradisional, persembahan kebudayaan dan kesenian, dan jualan produk tempatan,“ katanya pada Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di sini malam tadi.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM240,000 untuk menaik taraf 16 beca warisan supaya lebih menarik dan dilengkapi dengan kemudahan solar.

Menurut beliau, pelancong akan dibawa melalui laluan khas sejauh tiga kilometer di sekitar Pasar Payang dan Kampung Cina di sini, untuk menyaksikan keindahan serta keunikan lokasi itu dengan lebih dekat.

“Kita belajar (operasi beca) ini daripada rakan kita, Melaka. Tetapi kita pertingkatkan dengan kos RM15,000 untuk sebuah beca.

“Kita akan tengok maklum balas pelancong macam mana, kalau sambutan baik kita boleh tambah dalam 10 buah lagi,“ katanya. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings