Parlimen bincang harga tiket penerbangan ke Sabah dan kesesakan jalan di Johor, selain pusat data AI dan perbahasan Belanjawan 2026.
KUALA LUMPUR: Isu harga tiket penerbangan ke Sabah pada musim perayaan dan kesesakan jalan utama di Johor menjadi antara fokus perbincangan di Dewan Rakyat hari ini.
Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengemukakan soalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai purata kos tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Beliau bertanya mengenai situasi harga tiket sekiranya program harga maksimum RM499 tidak dilaksanakan kerajaan.
Vivian Wong juga ingin mengetahui sama ada kementerian bercadang mewajibkan syarikat penerbangan memaklumkan jumlah subsidi tiket kepada pembeli.
Pada sesi sama, Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan kesediaan menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor.
Beliau menekankan kesesakan semakin serius akibat pertambahan kenderaan dan pembangunan pesat di Iskandar Malaysia.
Isu ini menjadi lebih kritikal dalam menghadapi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai projek pusat data.
Beliau meminta penjelasan jumlah projek pusat data yang diluluskan serta unjuran penggunaan elektrik dan air.
Soalan turut menyentuh strategi kerajaan mengimbangi pelaburan kecerdasan buatan dengan keselamatan sumber negara.
Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember ini. – Bernama









