PTP Johor berpotensi masuk kelompok 10 pelabuhan tersibuk dunia didorong Maersk sebagai hab utama Asia, dengan pertumbuhan 16.9% ke 12.25 juta TEU
PUTRAJAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor berpotensi memasuki kelompok 10 pelabuhan paling sibuk di dunia dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata potensi itu didorong keputusan syarikat logistik Denmark Maersk menjadikan PTP sebagai pelabuhan hab pemindahan utama mereka di Asia.
“Ranking PTP memang semakin meningkat dan pertumbuhan pengendalian kontena mereka meningkat lebih 10 peratus,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Deepavali Kementerian Pengangkutan.
Beliau menegaskan semua kapal Maersk berlabuh atau membuat pertukaran di PTP menjadikannya pemindahan hab utama untuk syarikat Maersk Line.
Mengikut rekod Lloyd’s List 2024, PTP mengekalkan kedudukan ke-15 bagi 2023 dan 2024.
PTP mencatatkan lonjakan pengendalian kontena kepada 12.25 juta TEU pada 2024 iaitu peningkatan 16.9 peratus daripada 10.48 juta TEU pada 2023.
PTP baru-baru ini disenaraikan oleh Alphaliner sebagai pelabuhan paling pesat berkembang di dunia dengan kadar pertumbuhan 15.4 peratus pada separuh pertama 2025.
Pelabuhan itu mengendalikan lebih 1.2 juta TEU secara bulanan pada waktu puncak tanpa kesesakan.
Pencapaian itu menunjukkan selain Pelabuhan Klang yang menembusi kedudukan 10 teratas dunia, PTP turut memainkan peranan penting dalam industri perkapalan global.
Semalam, Maersk melancarkan Pusat Pengedaran Mega Maersk iaitu fasiliti logistik kontrak terbesarnya di Asia Pasifik.
Operasi kemudahan seluas kira-kira 80,000 meter persegi itu dijangka menarik minat pelabur dalam sektor seperti aeroangkasa, elektronik dan runcit. – Bernama









