the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 28, 2026
31.6 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kementerian luar pergiat usaha promosi diplomasi kebudayaan, bahasa menerusi Malawakil

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan mempergiat promosi Diplomasi Kebudayaan melalui pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil) menerusi program Pengantarabangsaan Bahasa dan Pensuratan Melayu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (pix) berkata program tersebut yang merupakan kerjasama julung kali di antara kementerian bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), adalah kesinambungan kepada keputusan Kabinet yang meluluskan Kerangka Dasar Luar Malaysia Pasca Dunia Pandemik baru-baru ini.

Beliau berkata antara usaha yang akan diambil termasuk mengemas kini dengan lebih sistematik kursus-kursus bahasa dan budaya Malaysia di Malawakil seluruh dunia.

Katanya kelas bimbingan secara kecil-kecilan telah pun bermula di beberapa kedutaan Malaysia antaranya di Indonesia, Thailand, China dan Rusia.

“Usaha ini tentunya akan diteruskan dengan lebih sistematik dengan sedikit dana tambahan. Kita juga akan menawarkan kursus bahasa Melayu ini untuk pegawai-pegawai diplomatik negara tersebut yang bakal bertugas di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama DBP dan IBTM di Menara DBP di sini, hari ini.

Saifuddin berkata Atase Kebudayaan yang meliputi soal pendidikan bahasa dan kesusasteraan akan ditempatkan, bermula di kedutaan-kedutaan utama.

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu memerlukan perbincangan lanjut dengan kementerian-kementerian lain terlebih dahulu.

Menjawab pertanyaan wartawan mengenai bila usaha tersebut akan dimulakan, Saifuddin berkata: “Saya harap di peringkat kami di KLN (Kementerian Luar) sebelum akhir tahun ini struktur itu dapat kami selesaikan dan terma rujukan untuk duta-duta dan semua pejabat Perwakilan (Malawakil) itu dapat kami sediakan.”

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Luar (Wisma Putra) juga akan memainkan peranan lebih mendalam untuk mempromosi kebahasaan dan persuratan Melayu rentas negara.

“Di bawah DBP, misalnya sudah wujud aktiviti bersama dengan Majlis Bahasa Brunei Darusslam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABIM).

“Jarang perkara ini ada dalam rujukan Wisma Putra, justeru saya berpendapat, dari segi kerjasama, Wisma Putra akan memainkan peranan memfasilitasi hubungan dengan negara-negara yang terlibat,” katanya.

Turut hadir di sidang media tersebut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM Sakri Abdullah.

Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

BN blends experience and new faces for Johor polls

Barisan Nasional’s mix of veteran leaders and fresh candidates for the Johor state election is the best formula for governing complex challenges, says Mohamed Khaled.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings