Dua suspek dikejar polis hampir sejam selepas lari dari pemeriksaan di Jalan Senawang, kereta mereka terbabas dan melanggar tembok
SEREMBAN: Seorang lelaki dan wanita ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam selepas melarikan diri dari pemeriksaan polis di Jalan Senawang awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 22 tahun dikejar polis hampir sejam sebelum kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Muhd Amrul Yazid Anuar berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.
“Semasa polis membuat rondaan di kawasan itu, terlihat kereta itu berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata suspek tidak memberikan kerjasama dan mengundurkan kereta sebelum melanggar kereta peronda polis.
“Mereka kemudian memecut untuk melarikan diri dari tempat kejadian.”
Polis mengekori mereka dari Jalan Senawang ke susur keluar Seremban berhampiran jejambat Lebuhraya Kajang-Seremban.
Kereta suspek akhirnya terbabas dan melanggar tembok di lokasi tersebut.
Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah.
Keputusan saringan urin mereka juga didapati negatif.
Video berdurasi lapan saat memaparkan kejadian berkenaan tular di laman Facebook sejak pagi tadi. – Bernama






