PM Anwar Ibrahim ingatkan semua pihak jangan selesa dengan kejayaan, perlu waspada pertahankan perpaduan dan keharmonian negara untuk kestabilan.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang dikecapi sebaliknya perlu sentiasa berwaspada dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian negara.
Beliau berkata sebagai negara kecil yang semakin maju dan menjadi tumpuan dunia, kestabilan, semangat perpaduan serta tadbir urus yang baik perlu dipertahankan bagi memastikan negara terus mencapai kemajuan.
Anwar berkata ancaman terhadap keamanan negara bukan sahaja datang dari luar tetapi juga boleh berpunca daripada sifat iri hati dan permusuhan antara rakyat sendiri.
“Positifnya, kita kini menjadi perhatian bagi sektor pelancongan dan pelaburan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
“Namun, perlu berwaspada, adakah kita dapat bertahan? Jika menyingkap lembaran sejarah, tiada negara yang dapat bertahan apabila mula dirasuk bibit kealpaan dan kecuaian. Itu kita perlu ingat,” katanya.
Anwar berkata keamanan dan kestabilan yang dinikmati Malaysia tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut menjadi asas keyakinan pelabur serta kesejahteraan sosial rakyat.
“Kita, rakyat Malaysia, kadang-kadang mengambil mudah keadaan ini. Sehingga kini, Alhamdulillah, keharmonian dapat dipelihara. Itu sebabnya saya tekankan pentingnya menjaga keharmonian,” katanya.
“Bayangkan negara lain dengan komposisi kaum, agama, dan wilayah yang berbeza seperti Malaysia… semuanya nampak relatifnya aman tetapi sebenarnya mudah tergugat dan tidak mantap,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kestabilan politik dan tadbir urus yang baik merupakan asas utama kejayaan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
“…yang pentingnya itu tatakelola. Wang banyak mana pun jika tidak diurus dengan baik, masalah tetap tidak selesai,” katanya.
Beliau juga menegaskan pemimpin politik perlu sedar bahawa perebutan kuasa yang berterusan hanya akan menjejaskan kestabilan negara dan menambah beban rakyat.
“Kita mengalami politik stabil, kemudian politik yang tidak menentu memberi kesan kepada rakyat. Apabila percaturan pimpinan politik berterusan, tiada kepastian, dan dalam kehangatan itu, mereka hanya memikirkan persaingan dan bukan kesan kepada negara,” katanya. – Bernama






