Kerajaan Sarawak akan ambil alih semua bekas jalan balak untuk diwartakan sebagai jalan awam tanpa bayaran menjelang 2030.
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengambil alih semua bekas jalan balak yang menghubungkan rumah panjang dan kampung di negeri itu untuk diwartakan sebagai jalan awam tanpa bayaran.
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pasukan petugas khas di bawah Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas sudah dibentuk untuk menyelaras proses pengambilalihan.
Pasukan itu juga akan memastikan laluan tersebut dinaik taraf untuk kemudahan penduduk luar bandar.
“Jadi rakyat juga senang kerana ia (bekas jalan balak) akan menjadi laluan kepada jalan utama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Jalan Raya Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (3M2L) di Marudi.
Abang Johari menekankan inisiatif tersebut penting bagi menyelesaikan masalah akses penduduk yang bergantung kepada bekas jalan balak tidak terjamin.
“Menjelang 2030, kita mahu perkara ini selesai dan dapat digunakan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyentuh pendekatan baharu kejuruteraan jalan raya dilaksanakan melalui Projek 3M2L yang menggunakan teknologi moden.
Pendekatan pembinaan baharu merangkumi penggunaan jalan bertingkat yang membolehkan kerja pembinaan dilakukan di kawasan tanah lembut atau gambut.
“Kita sudah buat di utara, di Limbang serta Lawas, dan kita laksanakan juga di kawasan 3M2L,” katanya.
Teknologi jalan bertingkat itu dilaksanakan di kawasan strategik yang memerlukan kaedah pembinaan lebih tahan dan sesuai dengan keadaan geografi setempat.
Teknologi Pemodelan Maklumat Lebuh Raya (HIM) turut digunakan bagi mensimulasikan reka bentuk jalan dalam komputer sebelum pembinaan fizikal dimulakan.
“Ini teknologi yang kita gunakan kerana Sarawak akan menjurus kepada negeri menggunakan teknologi,” katanya. – Bernama






