Menteri Dalam Negeri Perancis kekal yakin barang kemas Louvre bernilai €88 juta akan ditemui, tiga suspek ditahan, satu mahkota ditemui rosak
PARIS: Hampir sebulan selepas barang kemas bernilai €88 juta (kira-kira US$100 juta) dilarikan dari muzium terkenal Louvre, Menteri Dalam Negeri Perancis masih berharap barang berharga itu dapat dijumpai semula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Selagi tiada bukti ia telah dijual, saya kekal yakin,” kata Laurent Nuñez kepada edisi Ahad akhbar La Tribune.
Beliau berkata pihak berkuasa dipercayai telah menahan tiga daripada empat anggota kumpulan yang melakukan jenayah itu.
Setakat ini, beberapa suspek telah ditahan dan siasatan awal sedang dijalankan terhadap tiga lelaki yang didakwa terlibat dalam rompakan itu dan seorang wanita kerana bersubahat.
Berita rompakan pada 19 Oktober itu menarik perhatian antarabangsa.
Penjenayah bertopeng terbabit meletakkan sebuah lori berhampiran muzium itu yang dilengkapi platform pengangkat, alat yang lazim digunakan untuk mengangkat perabot ke pangsapuri di Paris.
Ketika dua daripada mereka menunggu di jalan raya dengan skuter, dua lagi menggunakan platform itu untuk naik ke balkoni tingkat satu sebelum masuk ke muzium melalui tingkap dan mengugut kakitangan.
Mereka melarikan diri dengan skuter sambil membawa lapan perhiasan berharga milik bekas ratu dan maharani, termasuk tiara, rantai, anting-anting dan kerongsang bertatah batu permata.
Mahkota Maharani Eugénie (1826–1920), yang dihias dengan zamrud dan ratusan berlian, turut dilarikan namun ditemukan semula dalam keadaan rosak berhampiran Louvre selepas pelaku menjatuhkannya ketika melarikan diri.
Selain nilai materialnya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan Perancis menyatakan barang kemas berkenaan mempunyai “nilai budaya dan sejarah yang tidak ternilai”. – Bernama-dpa






