Kerajaan Perak labur RM32 juta untuk subsidi air percuma kepada B40 dan rebat RM4 kepada semua pengguna domestik bagi kurangkan kos sara hidup.
IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah membelanjakan hampir RM32 juta bagi melaksanakan inisiatif subsidi air percuma dan pemberian rebat air setakat Oktober tahun ini.
Peruntukan tersebut merupakan antara usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutamanya golongan B40.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata subsidi air percuma disalurkan kepada golongan miskin dan termiskin yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
“Mereka menerima bantuan 25 meter padu air sebulan bersamaan RM20.40,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Beliau menambah tiada bayaran dikenakan jika penggunaan air berada di bawah kadar tersebut.
Rebat bil air sebanyak RM4 sebulan turut diberikan kepada semua pengguna akaun domestik di negeri Perak.
Saarani berkata kerajaan negeri sentiasa menilai keperluan semasa termasuk menambah baik bantuan mengikut keperluan khusus masyarakat B40 di bandar dan luar bandar.
“Perkara itu tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri serta komitmen dasar semasa,” jelasnya.
Kerajaan negeri komited memastikan hasil negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Perak.
Penekanan diberikan terhadap penyelarasan antara jabatan dengan agensi pelaksana supaya agihan bantuan dilakukan dengan adil dan tepat.
Pelbagai inisiatif lain telah dilaksanakan termasuk peningkatan Bantuan Am JKM kepada RM500 sebulan.
Kad Perak Sejahtera, Program Bantuan Kotak Makanan, Kedai Bergerak Negeri Perak, Jualan Rahmah dan Program Bas Perak Sejahtera turut diteruskan dalam Belanjawan 2026.
Peruntukan Bantuan Am JKM dinaikkan daripada RM31 juta kepada RM37 juta manakala Kad Perak Sejaherta daripada RM24 juta kepada RM24.5 juta.
Program Bantuan Kotak Makanan meningkat daripada RM5 juta kepada RM6 juta.
Kerajaan negeri turut memperkenalkan peruntukan baharu Program Sayangi Rumahku sebanyak RM3 juta sebagai dana pusingan di bawah Yayasan Perak. – Bernama







