Kedutaan Malaysia di Paris anjur malam Citrawarna Malaysia, persembahan silat, tarian dan fesyen sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026
PARIS: Kedutaan Malaysia di Paris menganjurkan malam “Citrawarna Malaysia: A Symphony of Cultures” sempena pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.
Acara itu berjaya menarik kunjungan lebih 260 tetamu termasuk pemain industri pelancongan, pertubuhan seni dan media tempatan.
Persembahan malam itu menonjolkan kekayaan warisan budaya Malaysia kepada audiens antarabangsa.
Antara persembahan yang disajikan ialah demonstrasi silat Gayung Fatani oleh kumpulan Silat Culture.
Tetamu juga disajikan dengan tarian tradisional seperti zapin, joget dan gabungan tarian oleh On Stage Productions.
Pertunjukan fesyen oleh pereka Malaysia Lynda Chew turut memeriahkan lagi acara tersebut.
Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan alat muzik sape oleh Eugene Kuek.
Kehadiran pelukis karikatur Olhairy Othman dan pameran fotografi oleh Kenneth Foo menyerikan lagi suasana.
“Sebagai acara istimewa, duta sendiri turut membuat persembahan silat dan menyertai pertunjukan fesyen,” menurut kenyataan kedutaan.
Ini bagi menunjukkan sokongan beliau terhadap seni Malaysia dan mengetengahkan bakat tempatan di Perancis.
Bagi memperkenalkan citarasa Malaysia, para tetamu dihidangkan pelbagai juadah tradisional.
Antaranya ialah popia, karipap, pulut kuning, seri muka, bingka ubi kayu dan talam suji.
Minuman ikonik negara, teh tarik turut dihidangkan kepada tetamu kehormat.
Malaysia Airlines merupakan antara penaja utama acara budaya tersebut.
Syarikat penerbangan negara itu menaja tiket penerbangan bagi kumpulan persembahan budaya yang dibawa khas dari Malaysia.
Mereka juga menyumbang hadiah cabutan bertuah pada malam itu.
Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha promosi bersepadu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. – Bernama







