Lima lelaki ditahan polis Kota Bharu susulan Op Lejang, membantu selesaikan lima kes curi motosikal yang dilaporkan sejak Ogos lalu.
KOTA BHARU: Polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini.
Penangkapan itu membantu menyelesaikan lima kes berasingan yang dilaporkan sejak Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata tangkapan itu hasil pelaksanaan Op Lejang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Balai Polis Kota Bharu dan Balai Polis Binjai.
Laporan pertama diterima pada 6 Ogos daripada seorang lelaki berusia 50-an yang melaporkan motosikalnya dicuri di hadapan rumah di Kampung Lubuk Pukul.
Laporan kedua dibuat pada 5 September oleh lelaki berusia 20-an yang kehilangan motosikal di hadapan rumahnya di Padang Kiat, Sering.
Kes ketiga diterima pada 23 November melibatkan seorang lelaki berusia 40-an yang mendapati motosikalnya hilang di kawasan letak motosikal PPR Kota Bharu, Jalan Kelachor.
Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Mohd Rosdi berkata kesemua suspek ditahan semalam dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Mereka direman selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan.
Polis masih meneruskan siasatan lanjut, termasuk kemungkinan wujud penglibatan rakan subahat atau kaitan dengan kes-kes lain.







