SPRM sambut baik penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) sebagai platform tingkatkan ketepatan laporan dan kerjasama media berkaitan isu rasuah.
KUALA LUMPUR: Penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) mampu membuka ruang kerjasama lebih tersusun antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pengamal media meja jenayah.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Hisyam Mohd Yusoff berkata SPRM melihat CiJA sebagai pemangkin meningkatkan ketepatan pelaporan.
Beliau berkata ia juga memastikan sensitiviti operasi terpelihara kerana wartawan meja jenayah paling banyak melaporkan isu berkaitan pencegahan rasuah.
“Melalui kerjasama di platform ini penyampaian maklumat antirasuah dapat dilakukan dengan lebih tepat, pantas dan profesional,“ katanya.
Hisyam berkata CiJA boleh membantu agar mesej pencegahan rasuah, trend jenayah dan modus operandi semasa disampaikan kepada masyarakat secara lebih berkesan.
Beliau mengulas kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan pertama CiJA yang berlangsung semalam.
SPRM turut terbuka memberikan latihan kepada wartawan meliputi aspek etika, undang-undang serta pemahaman Akta SPRM 2009.
Hisyam berkata latihan itu bagi memperkukuh profesionalisme wartawan jenayah.
Beliau mengucapkan tahniah kepada kepimpinan CiJA yang baharu dilantik.
Safeek Affendy Razali (Berita Harian) dilantik sebagai Presiden.
Hafidzul Hilmi (Harian Metro) dan Maszureen Hadzman (Utusan Malaysia) dilantik sebagai Timbalan Presiden 1 dan 2.
Farik Zolkepli (The Star) dilantik sebagai Bendahari manakala Nuraina Hanis Abd Halim (Utusan Malaysia) sebagai Setiausaha.
CiJA turut menamakan tujuh ahli jawatankuasa termasuk Ketua Meja Jenayah Bernama Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad.







