Lapan kenderaan dan sebuah rumah musnah dijilat api selepas bengkel cat kereta di Banting dipercayai terbakar akibat panahan petir
SHAH ALAM: Lapan kenderaan musnah dijilat api selepas sebuah bengkel mengecat kereta terbakar di Sungai Sedu, Banting petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata kebakaran itu dipercayai berpunca akibat panahan petir kira-kira pukul 5 petang.
Kejadian turut mengakibatkan sebuah rumah bersebelahan bengkel terbabit turut terbakar.
“Kebakaran disedari orang awam sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan polis,” katanya.
Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 5.20 petang untuk mengawal keadaan.
“Keadaan berjaya dikawal sepenuhnya dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” jelas Mohd Akmalrizal.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya lebih kurang pukul 7.20 malam.
Beliau berkata JBPM masih meneruskan pemeriksaan di lokasi kejadian untuk memastikan keadaan terkawal. – Bernama







