Mesyuarat dialog damai kali kelapan antara PEDP dan BRN cadang tubuh kumpulan kerja teknikal untuk bincang isu secara lebih terperinci
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Rasmi Proses Dialog Damai kali kelapan antara Panel Dialog Damai bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) hari ini mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja Teknikal bagi membincangkan secara lebih terperinci isu-isu berbangkit.
Fasilitator Kerajaan Malaysia Datuk Mohd Rabin Basir berkata mesyuarat berlangsung dalam suasana harmoni, dengan kedua-dua pihak meneliti serta menyelaras mekanisme bagi memperkukuh rangka kerja sedia ada.
“PEDP dan BRN juga bersetuju untuk menambah baik kerangka sedia ada dengan menekankan pencapaian ‘Natijah Akhir’ atau End State yang boleh dilaksanakan, berasaskan tiga teras utama iaitu ‘Pemberhentian Keganasan’, ‘Konsultasi Awam’ dan ‘Penyelesaian Politik’.
“Malaysia, selaku fasilitator, komited untuk mempercepatkan usaha pendamaian melalui perbincangan lanjutan mengenai aspek inklusiviti, yang akan diperhalusi di peringkat mesyuarat teknikal,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Mohd Rabin dan turut dihadiri seorang pakar antarabangsa manakala delegasi PEDP diketuai oleh Ketua Panel Rundingan PEDP Jeneral Somsak Roongsita dan delegasi BRN diketuai oleh wakilnya Ustaz Anas Abdulrahman.
Mohd Rabin berkata Malaysia kekal beriltizam memberikan bantuan dalam apa jua cara bersesuaian untuk memastikan proses pendamaian dapat terus bergerak ke hadapan, di samping mengekalkan peranan konsisten negara sebagai fasilitator.
Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan keputusan kedua-dua pihak menyambung semula proses dialog damai yang terhenti sejak Ogos 2024, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan semua pihak untuk mencari penyelesaian muktamad dan perdamaian. – Bernama







