Kerajaan sedang teliti penambahbaikan skim perjawatan untuk 36,500 guru Kafa, termasuk kemungkinan kontrak yang lebih tersusun
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan skim perjawatan bagi memastikan kebajikan 36,500 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) terus diperkukuh, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama agensi pelaksanaan Kafa negeri, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam kini mengadakan sesi libat urus bagi merangka model perjawatan yang lebih teratur.
“Ini termasuklah kemungkinan pelaksanaan perjawatan secara perkhidmatan kontrak yang lebih tersusun dan hampir menyerupai struktur perjawatan tetap,pada masa hadapan.
“Perbezaan ketara jadual operasi Kafa antara negeri iaitu sama ada tiga, empat atau lima hari seminggu menjadikan penelitian menyeluruh diperlukan sebelum kerajaan dapat melaksanakan sebarang penyelarasan skim perjawatan,” katanya.
Zulkifli berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Jufitri Joha yang ingin tahu sejauh mana kerajaan bercadang untuk menyerap guru Kafa kepada status jawatan tetap pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau turut memaklumkan jumlah guru Kafa telah ditambah daripada 35,000 kepada 36,500 tahun ini, dan setiap guru menerima elaun RM1,100 sebulan.
Mengenai kebajikan guru Kafa, Zulkifli berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah termasuk penambahan kuota 1,500 guru baharu tahun ini, Bantuan Khas Kewangan RM500 dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM250.
“Selain itu, caruman majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO), manfaat cuti rehat khas, cuti sakit, cuti tanpa rekod serta kelayakan elaun penuh apabila sesi Kafa jatuh pada cuti umum, cuti persekolahan, cuti peristiwa, kuarantin dan beberapa cuti lain,” katanya. – Bernama







