Malaysia akan memulakan rundingan FTA dengan negara-negara GCC di Riyadh pada awal 2025 untuk kembangkan pasaran eksport
KUALA LUMPUR: Malaysia akan memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada awal tahun depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata mesyuarat dua hala berkenaan akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi.
GCC merangkumi enam negara iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
“Kita akan memulakan rundingan dengan negara-negara anggota GCC dan berharap FTA ini akan mengembangkan lagi pasaran eksport Malaysia selain mengurangkan kebergantungan terhadap negara-negara tertentu,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai Perjanjian Timbal Balas Amerika Syarikat-Malaysia (ART) di sini, hari ini.
Sesi itu melibatkan pihak berkepentingan utama seperti Persatuan Veteran Badan Beruniform Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
Hairil Yahri berkata rundingan awal sebelum ini telah berlangsung secara tidak rasmi menerusi libat urus dalam talian yang menyaksikan kedua-dua pihak telah bersetuju dengan skop rundingan berkenaan.
Beliau juga menyifatkan usaha itu sebagai langkah untuk meneroka pasaran baharu selain dapat mempelbagaikan pasaran eksport negara di tengah-tengah cabaran membabitkan ART.
Laporan media sebelum ini menyatakan rundingan pertama perbincangan FTA dengan negara-negara anggota GCC akan dimulakan pada Disember ini, namun Hairil Yahri berkata tarikh berkenaan telah dipinda. – Bernama







