Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia akan dilancarkan bagi perkukuh tadbir urus dan keselamatan pelajar
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka beberapa inisiatif utama untuk memperkukuh perlindungan pelajar tahfiz serta memperketat tadbir urus institusi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu termasuk pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 dan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM).
DPTN 2.0 yang dijadual dilancarkan tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan pematuhan undang-undang dan pemantapan kurikulum.
Dasar itu juga akan memfokuskan pemerkasaan modal insan, tadbir urus institusi serta peluasan laluan pendidikan dan kebolehpasaran huffaz.
SPTM pula akan dilancarkan Ahad ini bersempena Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara di Bagan Datuk, Perak.
Mekanisme itu dirangka bagi menyeragamkan standard kualiti institusi tahfiz merangkumi aspek tadbir urus dan kebajikan pelajar.
Ia juga meliputi kualiti pengajaran, prasarana serta pematuhan perundangan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.
Ahmad Zahid yakin langkah bersepadu ini akan menjadi asas kukuh dalam memulihkan keyakinan masyarakat.
Beliau berkata ia juga akan memperkasakan institusi tahfiz secara berhemah serta memastikan pendidikan al-Quran terus berkembang.
“Insiden terpencil ini tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz negara,” katanya mengenai kejadian penderaan baru-baru ini.
Beliau meluahkan rasa kekesalan mendalam terhadap insiden keganasan terhadap pelajar institusi pendidikan agama.
“Sebarang bentuk kekerasan, penderaan atau layanan yang mencabul maruah kanak-kanak adalah tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya.
Ahmad Zahid berharap tindakan undang-undang diambil secara segera dan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.
Beliau menegaskan majoriti institusi tahfiz, guru dan para asatizah telah melaksanakan amanah mendidik dengan penuh dedikasi. – Bernama








