the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, December 25, 2025
24.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Usahawan wanita bawa jenama rempah Chitthi Spice ke pasaran Kanada

Ganga Dewi, usahawan dari Nibong Tebal, berjaya kembangkan jenama rempah tempatan Chitthi Spice dan mula menembusi pasaran antarabangsa di Kanada

NIBONG TEBAL: Bermula daripada sebuah impian yang hadir tanpa perancangan rapi, ia kini berkembang menjadi satu jenama rempah tempatan yang melangkah yakin ke pasaran antarabangsa.

Berbekalkan keyakinan terhadap kualiti produk, ketekunan yang tidak pernah luntur serta keberanian mengambil risiko, usahawan tempatan G Ganga Dewi berjaya mengangkat Chitthi Spice ke satu tahap baharu apabila jenama itu mula menembusi pasaran luar negara, bermula di Kanada.

Pengarah syarikat berusia 46 tahun itu berkata langkah berani tersebut diambil selepas syarikatnya menghantar pesanan percubaan ke negara berkenaan awal tahun ini, dan kini ejen tempatan di Kanada sedang menyiapkan kemudahan gudang bagi menyambut kemasukan jenama rempah tempatan itu ke pasaran mereka.

Menurut Ganga Dewi, beliau memilih industri rempah kerana ingin mencabar kemampuan diri selain membuktikan wanita juga mampu berjaya dalam bidang yang secara tradisinya didominasi kaum lelaki.

“Saya juga melihat industri rempah ini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan kerana seperti kita tahu, rempah digunakan dalam hampir semua masakan di negara ini.

“Rempah tempatan mendapat permintaan sangat tinggi di peringkat antarabangsa sebab rasa dan aroma yang unik berbanding keluaran negara lain,” katanya ketika ditemui Bernama di kilang rempah miliknya di Taman Perindustrian Nibong Tebal di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata produk keluarannya berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hanya dalam tempoh tiga bulan sejak operasi bermula sementara syarikat yang dimulakan pada 2022 itu turut memperoleh pensijilan Skim Keselamatan Makanan Malaysia (MesTI) daripada Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus melayakkan produknya dipasarkan lebih meluas.

Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, Ganga Dewi mengakui pada awalnya beliau tidak pernah merancang untuk terjun ke dunia perniagaan apatah lagi membangunkan sebuah kilang meskipun keluarganya mempunyai latar belakang perniagaan.

Namun, segalanya berubah apabila beliau menyertai Penang Women Entrepreneurs Mentoring Programme (PenMentor) anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) selama enam bulan yang menyediakan bimbingan asas keusahawanan, perancangan perniagaan serta panduan memulakan perniagaan.

Beliau berkata melalui program itu, peserta mendapat bimbingan mentor bagi membantu menilai idea secara menyeluruh, di samping pertukaran pandangan serta maklum balas daripada ahli kumpulan lain yang turut berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang perniagaan.

Dorongan itu akhirnya membawa Ganga Dewi mengambil keputusan besar dengan melabur hampir RM500,000 menggunakan simpanan sendiri untuk membangunkan kilang rempah tersebut yang pada awalnya mengeluarkan enam produk asas iaitu serbuk kari ayam, kari ikan, kunyit, cili, lada hitam dan lada putih.

Beliau berkata Chitthi Spice kini telah berkembang pesat dengan hampir  60 jenis rempah-ratus dan serbuk rempah serta 40 produk sampingan antaranya tepung muruku, tepung atta, tepung ragi, di samping air lemuju serta produk manisan kaum India.

Menurutnya, keunikan produk Chitthi Spice terletak pada gabungan rempah yang diformulasikan sendiri tanpa penggunaan pewarna atau bahan perasa tambahan, sekali gus menghasilkan aroma dan rasa tersendiri.

“Setiap kali ada idea produk baharu kami akan buat penyelidikan dan pembangunan (R&D), masak buat ujian rasa, beri sampel minta keluarga, rakan, pekerja cuba dan daripada maklum balas itu kita akan tambah baik sebelum produk akhir dipasarkan bagi memastikan setiap produk betul-betul diterima pelanggan,” katanya sambil menambah kilangnya mampu menghasilkan antara 500 ke 800 kilogram serbuk rempah sehari.

Anak jati Nibong Tebal itu turut mengakui berdepan cabaran untuk meyakinkan peniaga dan pengedar agar menerima produknya pada peringkat awal, namun berkat usaha berterusan, penyertaan dalam pelbagai ekspo keusahawanan dan halal, serta promosi aktif melalui media sosial seperti TikTok, jenama Chitthi Spice kini semakin dikenali.

Beliau berkata pada peringkat awal, pengoperasian kilang hanya dilakukan berdua dengan suami P Sivanesan, 50, yang menjadi tulang belakangnya hingga mempunyai enam pekerja tetap serta menggaji pekerja sambilan pada musim perayaan bagi menampung permintaan buat masa ini.

PenMentor merupakan program Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi PWDC yang menggabungkan latihan intensif, bimbingan mentor dan peluang rangkaian untuk usahawan wanita Pulau Pinang yang merupakan warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Related

spot_img

Latest

NRES advances green digital agenda with CNCS certification from Starza, ICT Zone

The Ministry of Natural Resources and Environmental Sustainability (NRES) has strengthened its sustainability and digital governance agenda with the receipt of a Carbon Neutral Computing Services (CNCS) certificate, offsetting 130.04 tonnes of CO₂e from 441 ICT assets. Delivered through a public–private collaboration with Starza Corporation Sdn Bhd, ICT Zone Asia Bhd and HP, the initiative demonstrates how carbon-neutral ICT deployment can support Malaysia’s Net Zero 2050 aspirations while providing a scalable model for sustainable digital transformation across the public sector.

Chin Hin Group confident of sustained growth in 2026 on strong order visibility and capacity expansion

Chin Hin Group Bhd is entering 2026 with strong earnings visibility, underpinned by RM2.3 billion in unbilled property sales and robust order books across construction, building materials and home & living. Supported by disciplined execution, strategic capacity expansions and a growing focus on sustainability-driven solutions, the group is well-positioned to deliver its next phase of scalable, sustainable growth.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories