Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menyatakan kesediaan meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Melaka jika itu keputusan bersama parti, sambil menafikan pelantikannya terbatal automatik.
MELAKA: Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyatakan kesediaan mengikut jejak langkah beberapa pemimpin parti untuk meletak jawatan dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kenyataan pelantikan Pengerusi PN negeri terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN adalah tidak tepat.
Mas Ermieyati berkata pelantikan di peringkat pusat atau negeri adalah berdasarkan keputusan bersama Majlis Tertinggi PN.
“Saya mengambil maklum desakan segelintir pihak yang menggesa dan menantikan saya meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN,” menurutnya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau menambah keputusan untuk tidak meletak jawatan buat masa ini dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan PN di peringkat negeri.
Semalam, Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Beliau diikuti empat lagi pimpinan utama Bersatu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Sahruddin Jamal dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Turut meletak jawatan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker.








