Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkongsi sorotan pencapaian kementeriannya dalam tiga tahun, merangkumi 5G, keselamatan siber, industri kreatif dan penyampaian maklumat kerajaan.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkongsi sorotan pencapaian kementeriannya sepanjang tiga tahun.
Pencapaian itu memberi kesan besar kepada ekosistem komunikasi digital, infrastruktur teknologi dan pembangunan media.
Beliau menzahirkan penghargaan atas sokongan rakyat menerusi hantaran media sosial.
“Terima kasih dan selamat tinggal 2025. Ayuh, kita hadapi 2026 bersama. Bring it on, 2026!” katanya.
Antara pencapaian utama ialah pembukaan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Pusat-pusat itu telah dimanfaatkan oleh 1.9 juta pengguna untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan.
Kementerian itu juga berjaya membentangkan dan meluluskan beberapa rang undang-undang di Parlimen.
RUU-RUU itu termasuk pindaan kepada Akta FINAS, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta BERNAMA dan RUU Majlis Media Malaysia.
Dalam aspek teknologi, liputan 5G telah mencapai 82.4% di kawasan berpenduduk.
Rangkaian 5G kedua pula mencatat liputan 61.3%, selain Malaysia menjadi negara pertama melaksanakan perjanjian MOCN 4G enam hala.
Bagi industri kreatif, Dana Kandungan Kreatif dan Skim Dana Padanan telah menyokong 299 projek penerbitan filem.
Seramai 224 individu juga menerima dana industri muzik, sekali gus mewujudkan 13,185 peluang pekerjaan.
Tabung Kasih@HAWANA yang digerakkan oleh Bernama telah membantu 580 pengamal media.
Tabung itu dilancarkan bersempena Hari Wartawan Nasional 2023 sebagai simbol keprihatinan kerajaan.
Di peringkat global, kementerian menjalinkan kerjasama komunikasi dengan Timor Leste.
Mereka juga menyertai Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 di Azerbaijan dan menandatangani 15 MoU dengan 11 negara.
Bagi memperkukuh keselamatan Internet, Kempen Internet Selamat dilaksanakan di 8,464 sekolah dengan penglibatan 369,000 pelajar.
Program itu turut dilaksanakan di 61 IPT dan 429 komuniti.
Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) juga mula beroperasi.
Tiga unit PRIME telah diaktifkan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk memastikan komunikasi berterusan semasa bencana.
“Kejayaan kementerian ini didorong oleh sokongan padu rakyat serta komitmen berterusan untuk berkhidmat,” menurut paparan teks dalam video ringkasan pencapaian tersebut.








