UTM hasilkan mesin pengimbas mini guna teknologi sinar-X untuk periksa kualiti dan struktur dalaman durian tanpa rosakkan fizikal buah bagi eksport.
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan teknologi Mesin Pengimbas Bagasi Mini yang mampu memeriksa dan menganalisis struktur dalaman serta kualiti durian dengan tepat tanpa menjejaskan fizikalnya.
Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata inovasi berasaskan teknologi pengimejan itu mampu mengelakkan risiko durian tidak berkualiti ditolak selepas dieksport ke pasaran seperti China.
Beliau berkata produk itu kini dalam peringkat akhir sebelum dikomersialkan dan akan dibentang kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mendapatkan pengiktirafan.
“Terdapat beberapa standard yang kita perlu ikuti untuk eksport durian ke China, dan ada pengusaha hasilnya ditolak,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran teknologi di UTM.
Mohd Shafry berkata teknologi itu diadaptasi daripada sistem pengimbasan keselamatan lapangan terbang yang diubah suai.
“Walaupun mesin ini pada asasnya direka untuk pemeriksaan bagasi, ia boleh diubah suai bagi membolehkan pemeriksaan hasil pertanian tanpa perlu memotong atau merosakkan buah,” katanya.
Beliau berkata mesin itu menggunakan teknologi sinar-X berasaskan nanotiub karbon (CNT) yang membolehkan pengambilan imej dari pelbagai sudut dengan lebih pantas.
Sistem ini lebih kecil dan stabil berbanding mesin tomografi berkomputer perubatan konvensional yang memerlukan komponen berputar pada kelajuan tinggi.
Pengimbasan durian dibuat menggunakan dua tahap tenaga sinar-X iaitu tenaga rendah dan tenaga tinggi bagi meningkatkan kejelasan struktur dalaman.
Pendekatan ini memperlihatkan pembezaan yang lebih jelas antara isi durian, bilangan biji dan ruang udara di dalam buah.
Setiap pengimbasan menghasilkan imej tiga dimensi lengkap dalam tempoh kira-kira 30 saat termasuk proses pengimejan dan pembinaan semula imej.
Mohd Shafry berkata pihaknya akan meneruskan kajian bagi membolehkan mesin itu menentukan jenis varieti durian yang diimbas.
Pengusaha Dusun Durian Landak Abd Hadi Ahmad Sani berkata teknologi itu mampu mengelakkan pengusaha menanggung kerugian termasuk kos eksport.
“Dengan teknologi ini, kita dapat tahu lebih awal sama ada durian kita rosak atau berkualiti… jadi, tiada ruang untuk ia ditolak selepas dieksport,” katanya.








