Objek besar disyaki serpihan angkasa ditemui di pantai Pekan, bebas radiasi, kini disimpan di balai polis untuk siasatan lanjut MOSTI.
PEKAN: Satu objek yang disyaki serpihan dari angkasa ditemukan di pesisir pantai Kampung Tanjung, Nenasi di sini.
Objek itu dijumpai oleh penduduk tempatan pada Selasa lepas kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata penduduk kemudian memaklumkan penemuan itu kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Siasatan awal mendapati serpihan objek berkenaan dipercayai jatuh dari angkasa ke dalam laut sebelum dihanyutkan arus ke kawasan pantai di Nenasi,” katanya.
Objek itu dianggarkan berukuran 4.26 meter kali 3.64 meter.
Pegawai Jabatan Tenaga Atom Malaysia telah menguji dan meneliti objek tersebut semalam.
Ujian mendapati objek itu bebas daripada sebarang radiasi.
Bagi tujuan keselamatan, objek berkenaan telah dipindahkan ke Balai Polis Nenasi untuk simpanan sementara.
Ia akan menunggu siasatan lanjut oleh kementerian berkenaan.
Tinjauan Bernama di Balai Polis Nenasi mendapati garisan polis telah dipasang di sekeliling objek itu.
Serpihan yang difahamkan mencecah berat ratusan kilogram itu kelihatan dipenuhi teritip.
Beberapa permukaan objek itu juga kelihatan terkopak serta rosak.








