Puspakom selaraskan caj pemprosesan tempahan pemeriksaan kenderaan daripada RM3.50 kepada RM5 bermula Ahad ini, seiring pelancaran sistem baharu.
SHAH ALAM: Puspakom Sdn Bhd akan menyelaraskan Caj Pemprosesan Tempahan Pemeriksaan Kenderaan daripada RM3.50 kepada RM5 bermula Ahad ini.
Pelarasan itu adalah sebahagian daripada usaha mempertingkatkan sistem tempahan pemeriksaan kenderaan supaya lebih stabil, telus dan mesra pelanggan.
Ia juga merupakan persediaan untuk pelaksanaan sistem tempahan pemeriksaan kenderaan baharu yang kini berada pada fasa akhir.
Sistem baharu itu merangkumi integrasi automatik dengan portal mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan serta penambahbaikan proses pemulangan bayaran yang lebih teratur.
“Pelarasan caj ini seiring persediaan untuk melancarkan sistem tempahan baharu yang menampilkan penjenamaan semula, paparan serta fungsi yang ditambah baik,” menurut Puspakom dalam kenyataan.
Puspakom memaklumkan caj pemprosesan sedia ada tidak pernah disemak sejak sistem tempahan dalam talian diperkenalkan pada 2017.
Pelarasan itu perlu bagi memastikan sistem tempahan terus relevan dengan keperluan semasa industri automotif serta jangkaan pengguna.
Perincian penuh mengenai sistem tempahan baharu akan diumumkan Isnin ini.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Puspakom di talian 03-5101 7000.
Mereka juga boleh menghantar e-mel ke customerservice@puspakom.com.my atau mengikuti @puspakomofficial di media sosial.








