WASHINGTON: Elon Musk mungkin akan meninggalkan Tesla jika pemegang saham tidak meluluskan pakej gajinya yang bernilai hampir US$1 trilion menjelang tarikh akhir 5 November.
Pengerusi Lembaga Tesla Robyn Denholm memberi amaran dalam sepucuk surat bahawa syarikat berdepan risiko Musk melepaskan jawatan eksekutifnya.
“Jika kita gagal memupuk persekitaran yang mendorong Elon mencapai perkara hebat melalui pelan gaji untuk prestasi yang saksama, kita berdepan risiko beliau melepaskan jawatan eksekutifnya,” menurut surat itu pada Isnin.
Denholm menegaskan bahawa tanpa Musk, Tesla boleh kehilangan nilai yang besar kerana syarikat tidak lagi akan dinilai berdasarkan potensi masa depannya.
“Walaupun mungkin tiada masalah untuk menjadi sekadar syarikat kereta yang lain, Lembaga Pengarah kami percaya yang Tesla boleh menjadi lebih daripada itu,” kata Denholm.
Beliau menambah bahawa pemegang saham berhak mendapat lebih banyak dan Musk adalah pemimpin yang tepat untuk mencapai potensi penuh syarikat.
Pada September, lembaga pengarah mencadangkan pemberian lebih 423 juta saham biasa Tesla kepada Musk yang mewakili 12 peratus daripada jumlah keseluruhan saham.
Anugerah saham ini tertakluk kepada syarikat mencapai 12 pencapaian yang ditetapkan termasuk modal pasaran berjumlah US$8.5 trilion untuk tranche terakhir.
Ini bermakna nilai pasaran Tesla mesti meningkat sebanyak US$7 trilion lagi untuk Musk menerima anugerah tersebut.
Syarikat perlu mencapai sasaran ini memandangkan penilaian semasa Tesla adalah kira-kira US$1.42 trilion dan tidak lewat daripada 2035.
Jika syarikat mencapai semua pencapaian di bawah kepimpinan Musk, beliau berpotensi meningkatkan pegangannya daripada kira-kira 13 peratus kepada kira-kira 25 peratus.
Pencapaian lain termasuk menghasilkan 20 juta kenderaan Tesla dan mempunyai sekurang-kurangnya sejuta Robotaxi Tesla dalam operasi komersial. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti










