HULU SELANGOR: Sebanyak 11 kemalangan kecil telah direkodkan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Kemalangan tersebut membabitkan kenderaan yang membawa tetamu kenamaan serta pasukan pengiring mereka.
Dua anggota trafik dilaporkan cedera ketika menjalankan tugas sepanjang sidang kemuncak itu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kedua-dua anggota terbabit mengalami patah kaki kiri dan kecederaan pada tangan kiri.
Beliau menyatakan kedua-dua anggota kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan pemulihan.
“Mereka menunjukkan semangat serta motivasi tinggi untuk kembali bertugas sebaik pulih sepenuhnya,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap anggota berkenaan.
Lawatan kebajikan itu turut dihadiri Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri Omar Mokhtar.
Mohd Yusri berkata JSPT akan menjalankan post-mortem bagi menilai semula prosedur operasi standard dan langkah penambahbaikan.
Tujuan post-mortem tersebut adalah untuk memperkukuh keselamatan anggota dan pengguna jalan raya selepas Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di ibu negara.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas keprihatinan terhadap kebajikan anggota yang cedera ketika bertugas.
Koperal Kamarul Suari berusia 35 tahun cedera selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah pacuan empat roda di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil arah utara Lebuhraya Elite pada Sabtu lepas.
Beliau berkata kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota trafik.
“Sudah 11 tahun saya berkhidmat dalam pasukan trafik dan ini merupakan kali kedua saya terlibat dalam kemalangan, saya mahu cepat sembuh supaya dapat meneruskan tugasan,” katanya yang cedera pada bahagian kaki kiri.
Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri berusia 25 tahun mengalami kecederaan di tangan kiri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, JSPT serta Kementerian Dalam Negeri atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.
“Ini memberi semangat dan kekuatan rohani serta jasmani kepada saya untuk segera pulih dan kembali bertugas,” katanya.
Muhammad Danial cedera selepas motosikalnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar Jalan Kinabalu di ibu negara ketika mengiringi delegasi dari Brazil. – Bernama










