JBPM jalankan 1,172 pemeriksaan pusat asuhan hingga Oktober, 373 notis dikeluarkan kerana gagal patuhi peraturan keselamatan kebakaran
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan 1,172 pemeriksaan ke atas pusat asuhan kanak-kanak di seluruh negara sehingga Oktober lepas.
Sebanyak 373 notis telah dikeluarkan kepada premis yang gagal mematuhi peraturan keselamatan.
Bagi institusi pendidikan rendah dan menengah swasta pula, 234 pemeriksaan dilaksanakan dengan 41 notis dikeluarkan dalam tempoh sama.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata JBPM akan melaksanakan penguatkuasaan melalui aktiviti menghapuskan bahaya kebakaran secara berjadual.
“Ini bagi memastikan premis berkenaan sentiasa mematuhi syarat ditetapkan dan tidak melakukan apa-apa pindaan pengubahsuaian terhadap premis yang diluluskan kelulusan bagi pelan asal,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan mengenai langkah memastikan pusat asuhan serta sekolah swasta mematuhi peraturan keselamatan.
Aiman Athirah berkata kementerian menyokong penglibatan pelbagai pihak dalam memacu sektor pendidikan swasta sambil mempermudahkan proses kelulusan lesen.
Beliau menekankan aspek keselamatan tidak diabaikan termasuk pemasangan sistem keselamatan kebakaran dan penyediaan sekurang-kurangnya dua laluan keluar.
Keperluan lain ialah pembinaan dinding pengasingan, penempatan alat pemadam api, had aktiviti memasak serta pemasangan alat pengesan asap jenis kendiri.
Pada 2024, sebanyak 1,208 lesen premis perniagaan telah diluluskan oleh semua pihak berkuasa tempatan.
Dalam tempoh itu, 723 operasi pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan 61 tindakan kompaun serta lapan notis dikeluarkan.
Manakala pada 2025, sebanyak 1,737 lesen diluluskan dengan 472 operasi pemantauan yang membawa kepada pengeluaran 96 kompaun serta 23 notis. – Bernama







