the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 28, 2025
29.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

2025 antara tahun paling mencabar bagi iklim global, kata WMO

2025 saksikan gelombang haba melampau, kebakaran hutan, taufan dan banjir besar, dengan suhu global kekal hampir rekod, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia

KUALA LUMPUR: Tahun 2025 menyaksikan kemusnahan besar terhadap iklim global, disebabkan gelombang haba melampau, kebakaran hutan, taufan dahsyat serta banjir besar di pelbagai rantau seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), haba melampau  menjejaskan jutaan penduduk di seluruh dunia, sekali gus menonjolkan kepentingan sistem amaran awal dan pelan tindakan kesihatan berkaitan haba.

Gelombang haba dilaporkan di Amerika Utara sehingga mencetuskan bencana kebakaran hutan, termasuk di Eropah serta banyak kawasan di Asia hingga menimbulkan risiko kesihatan serius.

Julai 2025 direkodkan sebagai Julai ketiga paling panas di dunia selepas Julai 2023 dan 2024, berdasarkan data Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah.

Cuaca melampau dan iklim global

“Cuaca dan iklim melampau sehingga Ogos 2025 memberi kesan besar di peringkat global apabila kesan berganda merosakkan tanaman, menjejaskan sumber kehidupan, memburukkan lagi kadar kemiskinan serta menyumbang kepada perpindahan penduduk di pelbagai wilayah,” menurut laporan WMO mengenai keadaan iklim global.

Jepun mencatat suhu tertinggi dengan 41.8 darjah Celsius di Isesaki pada 5 Ogos, termasuk banyak kawasan di China.

“ Kebakaran hutan di California pada Januari pula mengorbankan 30 nyawa dan memaksa 260,000 penduduk berpindah, sekali gus mengakibatkan kerugian ekonomi terbesar pernah direkodkan bagi kebakaran hutan, dianggarkan US$40 bilion,” menurut WMO.

Kesan paling teruk dilaporkan di Pakistan dengan 881 kematian akibat banjir setakat 2 Sept.

WMO turut menegaskan bahawa pemanasan lautan membawa kesan jangka panjang, termasuk kemerosotan ekosistem marin, kehilangan biodiversiti serta melemahkan peranan lautan sebagai penyerap karbon.

“Pemanasan ini dijangka berterusan dan merupakan perubahan yang tidak dapat dipulihkan dalam skala ratusan hingga ribuan tahun,” menurut WMO.

Laporan saintifik turut menunjukkan haba melampau di lautan menyumbang kepada pembentukan taufan serta kejadian banjir.

Taufan Ragasa melanda China, Filipina, Taiwan, Hong Kong dan Vietnam pada September, dan dilaporkan sebagai siklon tropika paling kuat di dunia bagi 2025.

Ragasa menyebabkan banjir, pemindahan penduduk, kecederaan, kematian serta kerugian ekonomi.

Perjanjian Paris

WMO menyatakan unjuran iklim global menunjukkan suhu dijangka kekal pada atau hampir paras rekod sepanjang lima tahun akan datang, sekali gus meningkatkan risiko iklim dan kesannya terhadap masyarakat, ekonomi serta pembangunan mampan.

Di bawah Perjanjian Paris, negara-negara bersetuju mengekang peningkatan suhu purata global jangka panjang di bawah dua darjah Celsius berbanding tahap praindustri (1850–1900), serta berusaha mengehadkan peningkatan kepada 1.5 darjah Celsius.

“Komuniti saintifik berulang kali memberi amaran bahawa pemanasan melebihi 1.5 darjah Celsius berisiko mencetuskan kesan perubahan iklim dan cuaca melampau yang jauh lebih buruk,” menurut WMO.

COP30

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30, COP30, diadakan di Brazil pada November bagi menangani krisis iklim dan mencapai sasaran Perjanjian Paris.

Walaupun terdapat beberapa kemajuan di COP30, termasuk sasaran meningkatkan pembiayaan adaptasi kepada US$120 bilion setahun, jumlah itu masih jauh daripada keperluan negara membangun.

Selain itu, tiada kerangka jelas bagi penghapusan bahan api fosil dan penebangan hutan.

Penyelidik Iklim, Alam Sekitar dan Tenaga, ISIS Malaysia Zayana Zaikariah berkata, persetujuan COP30 untuk menggandakan pembiayaan adaptasi menjelang 2035 juga tidak menjelaskan kaedah penggemblengan dana.

“Ini menjadi kebimbangan kritikal bagi ekonomi membangun yang sedia berdepan kekangan fiskal.

“Bagi ASEAN dan dunia membangun, COP30 menawarkan kemajuan secara berperingkat, namun belum mencapai skala dan kepastian sokongan yang diperlukan untuk peralihan hijau yang berwibawa dan tepat pada masanya,” katanya kepada Bernama.

Penyelidik Kanan Iklim, Alam Sekitar dan Tenaga ISIS, Kieran Li Nair berkata COP kekal sebagai platform penting bagi tadbir urus iklim pelbagai hala.

“Ia kadangkala proses yang perlahan dan mengecewakan, namun bagi sesetengah pihak, inilah satu-satunya platform untuk suara mereka didengari di peringkat tertinggi,” katanya.

Antara pencapaian penting COP30 termasuk keputusan mengenai mekanisme peralihan adil bagi meningkatkan bantuan teknikal, penubuhan kemudahan pembiayaan alam semula jadi dan hutan tropika dengan komitmen melebihi US$6.7 bilion, serta penetapan 59 penunjuk bagi menilai adaptasi terhadap kesan iklim.

Strategi iklim ASEAN dan peranan kepimpinana Malaysia

Di rantau ASEAN, Zayana menekankan keazaman politik negara anggota untuk menyelaras dan melaksanakan strategi menangani bencana iklim.

Menurut beliau, kelemahan utama bukan pada ketiadaan strategi, sebaliknya kekurangan penyelarasan operasi, memerlukan peralihan daripada tindak balas reaktif berasaskan negara kepada sistem serantau yang lebih bersepadu.

Beliau berkata Malaysia telah memainkan peranan sebagai penyelaras dengan menyatukan pendirian ASEAN bagi COP30 dan menyelaras keutamaan serantau dengan agenda global menerusi beberapa mesyuarat peringkat menteri yang diadakan di negara ini.

Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan Malaysia melaksanakan dasar domestik secara berkesan serta mengekalkan komitmen kolektif negara ASEAN.

Malaysia berikrar mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 menerusi peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Prospek Iklim

Menurut laporan WMO, petunjuk iklim terus menunjukkan keadaan membimbangkan, namun terdapat perkembangan positif apabila tenaga boleh diperbaharui terus berkembang.

“2025 berada di landasan menjadi tahun kedua atau ketiga paling panas dalam rekod, dan 11 tahun terakhir termasuk 2025 merupakan 11 tahun paling panas pernah direkodkan.

“Kita tidak berada pada landasan untuk mencapai sasaran Perjanjian Paris,” menurut agensi khusus PBB itu.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories